LUMUT: Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan bulan depan dijangka memberi tumpuan kepada usaha menangani isu sosioekonomi, termasuk kebajikan golongan berpendapatan pertengahan (M40) dan kumpulan kurang berkemampuan.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata kedua-dua golongan berkenaan antara yang paling terkesan dengan tekanan ekonomi dan cabaran kos sara hidup semasa.
“Belanjawan yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri nanti adalah satu lagi belanjawan yang lebih inklusif, lebih dekat dengan rakyat dan sedikit sebanyak dapat menyelesaikan beberapa permasalahan serta isu yang berbangkit.
“Buat masa ini, pihak terlibat masih lagi menjalankan sesi libat urus dengan semua pemegang taruh bagi memuktamadkan belanjawan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Adat Istiadat Khatam Keris Peringkat Kebangsaan anjuran Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kebangsaan Negeri Perak dan Perhimpunan Silat Anak-Anak Gayong Perak di Teluk Batik Campsite di sini, Ahad.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Okt ini.
Mengulas bantuan sedia ada, Muhammad Kamil berkata Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan terus diperkukuh bagi meringankan beban kewangan isi rumah.
“Dasar-dasar (bantuan) seperti STR dan SARA itu akan diteruskan dan kita nantikan pengumuman lanjut oleh Menteri Kewangan, iaitu Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata kerajaan turut mempertimbangkan cadangan menambah baik inisiatif sedia ada serta menawarkan bentuk sokongan kewangan lain bagi membantu isi rumah golongan pertengahan.
“Keutamaan kerajaan juga terarah kepada usaha memastikan kestabilan politik dan ekonomi kekal teguh demi menjamin kelancaran pelaksanaan dasar-dasar negara,” katanya.
Sumber Info: Bernama
Sumber Gambar: Utusan Malaysia
https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2603695
Comments
Leave a Reply