World

Malaysia Tawar Bantuan Bombardier, Helikopter Tangani Kebakaran Hutan Indonesia

JAKARTA -  Malaysia menawarkan bantuan kepada Indonesia bagi menangani kebakaran hutan di negara itu, termasuk menerusi sebuah pesawat Bombardier CL-415MP, tiga helikopter serta 52 pegawai dan anggota.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tawaran itu disampaikan kepada Naib Presiden Indonesia Gibran Rakabuming Raka dalam pertemuan sempena lawatan kerja beliau ke Indonesia.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata aset dan anggota yang ditawarkan melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menurutnya, perkara itu akan dibawa kepada Presiden Indonesia Prabowo Subianto untuk mendapatkan persetujuan kerajaan negara berkenaan.

Pesawat Bombardier CL-415MP milik APMM berkeupayaan menjalankan operasi pemadaman kebakaran dari udara dengan membawa air dari tasik, laut atau sungai sebelum melepaskannya ke kawasan yang terbakar.

Ahmad Zahid berkata pesawat berkenaan pernah digunakan di Sumatera Selatan pada 2015 dan melepaskan kira-kira 546,000 liter air sepanjang lima hari operasi.

Beliau berkata tawaran bantuan itu dibuat bagi membantu menangani masalah kebakaran hutan dan jerebu rentas sempadan yang turut memberi kesan kepada Malaysia.

Katanya, Malaysia dan Indonesia juga perlu memberi tumpuan kepada pelan mitigasi bagi mengurangkan risiko kebakaran hutan yang berlaku setiap tahun, selain meneruskan kerjasama dalam pengurusan bencana termasuk menerusi pertemuan dan latihan bersama di peringkat ASEAN.

Sumber Info: Bernama
https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2608550 

What's your reaction?

0
AWESOME!
AWESOME!
0
LOVED
LOVED
1
NICE
NICE
0
LOL
LOL
0
FUNNY
FUNNY
0
EW!
EW!
0
OMG!
OMG!
0
FAIL!
FAIL!

Comments

Leave a Reply