SEREMBAN -- Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim menegaskan bahawa Menteri Besar tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar negeri itu.
Beliau berkata kedudukan serta proses berkaitan Yang Dipertuan Besar adalah perkara yang diperuntukkan secara khusus di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959) dan perlu dilihat dalam kerangka Raja Berperlembagaan, bukannya sebagai persoalan politik atau peribadi.
Menurutnya, kerajaan negeri menerusi Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini menegaskan bahawa sesuatu proklamasi tidak dengan sendirinya mewujudkan kuasa perlembagaan, sebaliknya persoalan utama ialah sumber kuasa bagi proklamasi berkenaan, syarat serta prosedur yang ditetapkan UUTKNS 1959 dan sama ada kesemuanya telah dipatuhi.
Dalam konteks Perkara 10 UUTKNS 1959, katanya, peruntukan itu menetapkan kerangka khusus berkaitan tindakan terhadap kedudukan Yang Dipertuan Besar, termasuk keperluan berhubung proses proklamasi.
“Penglibatan Menteri Besar dalam proses yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh tidak bermaksud Menteri Besar mempunyai kuasa untuk menentukan sendiri kedudukan Yang Dipertuan Besar.
“Sebaliknya, apabila perlembagaan menetapkan peranan atau tindakan tertentu kepada Menteri Besar, perkara itu hendaklah dilaksanakan dalam batas dan menurut kehendak UUTKNS 1959,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ismail berkata dalam sistem Raja Berperlembagaan, kuasa perlu bersumberkan perlembagaan dan undang-undang, dengan Institusi Diraja, Undang Yang Empat, Menteri Besar dan Kerajaan Negeri masing-masing mempunyai kedudukan serta fungsi yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh.
Beliau berkata persoalan mengenai kesahan serta kesan undang-undang sesuatu proklamasi perlu diselesaikan melalui proses perlembagaan dan undang-undang yang sah, termasuk melalui penentuan kehakiman sekiranya berlaku pertikaian.
“Menteri Besar menghormati sepenuhnya Institusi Yang Dipertuan Besar, Undang Yang Empat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
“Perkara yang perlu dipertahankan adalah bukan kepentingan mana-mana individu, tetapi keluhuran perlembagaan, kepastian undang-undang dan kesinambungan institusi Raja Berperlembagaan,” katanya.
Sumber Info: Bernama
https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2607742
Comments
Leave a Reply