KUALA LUMPUR: Anak syarikat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), FGV Holdings Bhd (FGV) telah melantik sebuah firma audit bebas bagi menjalankan audit forensik berhubung perkara khusus melibatkan sebuah entiti yang mempunyai hubungan korporat dengan kumpulan itu.
Felda dalam kenyataan berkata, proses pelantikan firma audit bebas turut sedang dijalankan bagi beberapa anak syarikat lain.
Menurutnya, pelantikan berkenaan dibuat selaras dengan saranan Perdana Menteri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jawatankuasa Khas Hala Tuju Felda 2030.
“Langkah ini dirangka khusus untuk menambah baik tahap tadbir urus Kumpulan Felda demi kelestarian agensi tersebut,” menurut kenyataan itu.
Felda berkata pihaknya akan terus meneliti keperluan melantik firma audit bebas bagi menjalankan pengauditan forensik secara profesional dan menyeluruh terhadap Felda serta semua organisasi di bawah kumpulan itu.
Inisiatif audit forensik Felda mula dilaksanakan pada 2019 dengan pelantikan firma Ernst & Young (EY), dengan dapatan audit berkenaan dibentangkan di Parlimen menerusi Kertas Putih Felda pada 2020.
Pelaksanaan audit terbaharu itu, menurut Felda, mencerminkan komitmen berterusan pengurusan dalam memperkukuh tadbir urus, akauntabiliti, ketelusan dan pematuhan di semua peringkat operasi.
Felda turut menegaskan komitmennya untuk memastikan kepentingan organisasi serta kesejahteraan peneroka sentiasa dilindungi dan terpelihara.
Sumber Info: Bernama
Comments
Leave a Reply