KUALA LUMPUR - Perancis bersedia menjadi rakan strategik Malaysia dalam pembangunan tenaga nuklear awam bagi menyokong agenda penyahkarbonan negara, selain memperkukuh kerjasama dua hala dalam sektor pertahanan, keselamatan dan teknologi.
Presidennya, Emmanuel Macron berkata, komitmen itu antara inisiatif utama susulan persetujuan kedua-dua negara untuk meningkatkan hubungan diplomatik kepada tahap Perkongsian Strategik, menjelang sambutan ulang tahun ke-70 hubungan Malaysia-Perancis tahun depan.
Beliau berkata, kedua-dua negara turut bersetuju menubuhkan Pusat Kecemerlangan Malaysia-Perancis bagi menangani ancaman hibrid, yang akan menyediakan latihan kepada pegawai awam dan anggota tentera dalam menghadapi cabaran keselamatan moden.
Dalam sektor pertahanan, Macron berkata, Malaysia dan Perancis telah memeterai perjanjian penting berkaitan perolehan helikopter Airbus Caracal sebagai langkah awal pelaksanaan pelan hala tuju industri pertahanan dua hala.
Kedua-dua negara turut mengadakan perbincangan lanjut berhubung aset kapal selam sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama pertahanan.
“Pertahanan dan keselamatan menjadi salah satu tunjang kedaulatan kedua-dua negara dan kini kita mempunyai pelan hala tuju bagi industri pertahanan kita. Kita telah menandatangani perjanjian penting berkaitan helikopter Caracal oleh Airbus dan turut mengadakan perbincangan yang sangat baik mengenai kapal selam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Sultan Abdul Samad di sini, Selasa.
Mengulas mengenai peralihan tenaga, Macron berkata, Perancis bersedia berkongsi kepakaran dalam pembangunan tenaga nuklear awam dan gas asli cecair (LNG), menerusi kerjasama berterusan antara syarikat tenaga Perancis, TotalEnergies dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Selain itu, pembukaan Sekolah Pengawal Selia di Kuala Lumpur dengan sokongan Agensi Pembangunan Perancis (AFD) turut diumumkan bagi membantu pembangunan dasar tenaga serantau, selaras dengan aspirasi Grid Tenaga ASEAN.
Dalam sektor teknologi tinggi dan pendigitalan, syarikat Perancis, Alcatel Submarine Networks (ASN) telah memeterai perjanjian berkaitan kabel dasar laut bagi memperkukuh kesalinghubungan digital Malaysia.
Sementara itu, kerjasama antara syarikat semikonduktor SiPearl dan SkyeChip turut dimeterai bagi membangunkan mikropemproses pengkomputeran berprestasi tinggi serta pusat data.
Menyentuh perkembangan geopolitik global, Macron berkata, Malaysia dan Perancis sepakat memperjuangkan pendekatan jalan tengah yang bebas daripada pengaruh mana-mana kuasa besar, selain mempertahankan undang-undang antarabangsa dan prinsip multilateralisme.
Beliau turut memberi jaminan bahawa Perancis, yang merupakan pelabur kedua terbesar Eropah di Malaysia dengan kehadiran lebih 300 syarikat, akan terus menyokong usaha memperkukuh rundingan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dengan Kesatuan Eropah (EU).
Sumber Info: Astro Awani
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/perancis-tawar-jadi-rakan-nuklear-awam-malaysia-macron
Comments
Leave a Reply