KOTA MELAKA - Pakatan Harapan (PH) mengakui berdepan persaingan lebih sengit dalam usaha mempertahankan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka susulan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, gabungan kekuatan kedua-dua parti itu, khususnya dari segi sokongan penyokong tradisi dan pengaruh di kawasan masing-masing, memberikan kelebihan kepada calon yang ditampilkan.
Beliau berkata, keadaan itu sekali gus meletakkan PH dalam situasi lebih mencabar apabila BN dan PN tidak berentap sesama sendiri di kerusi yang telah diperuntukkan kepada kedua-dua gabungan berkenaan.
“Memang satu cabaran apabila mereka menggabungkan kekuatan masing-masing kerana kedua-duanya mempunyai sokongan tradisi dan kawasan penyandang tersendiri.
“Apabila mereka tidak bertanding antara satu sama lain dan meminta penyokong masing-masing memberikan sokongan kepada calon mereka, sudah tentu ia menjadi satu kekuatan yang memberi cabaran kepada kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Malam HARAPAN di Sekolah Tinggi Pay Fong, pada Khamis.
Bagaimanapun, Loke berkata PH akan memberi keutamaan kepada usaha mempertahankan empat kerusi penyandang, termasuk tiga kerusi di bawah Parlimen Kota Melaka dan satu lagi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh.
Katanya, DAP turut memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan penguasaan di tiga kerusi tradisinya, iaitu Kota Laksamana, Bandar Hilir dan Kesidang.
“Kita akan berusaha mempertahankan kerusi-kerusi yang kita menangi sebelum ini, termasuk Kota Laksamana, Bandar Hilir dan Kesidang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata PH akan meneruskan kempen secara positif dengan mengetengahkan pencapaian Kerajaan Persekutuan sebagai antara pendekatan untuk meningkatkan keyakinan pengundi.
Menurutnya, PH menyedari cabaran yang menanti, namun tetap komited untuk meraih sokongan rakyat dan mempertahankan kerusi yang disandang.
Pada PRN Melaka kali ini, PH mempertaruhkan 24 calon, manakala BN meletakkan 23 calon.
Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) pula bertanding di 16 kerusi, diikuti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dengan tujuh calon dan PN sebanyak lima calon.
Sumber Info: Astro Awani
Sumber Gambar: Laman Facebook DAP
Comments
Leave a Reply