JAKARTA -- Lima petugas media Indonesia dilaporkan terputus hubungan ketika membuat liputan aktiviti letusan Gunung Anak Krakatau di sekitar Pulau Sebesi, Lampung, selatan Sumatera pada 10 September.
Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat (SAR) Banten Al Amrad berkata operasi pencarian secara intensif sedang dijalankan bagi mengesan kesemua petugas media berkenaan.
Beliau berkata sehingga malam ini, tiada maklumat mengenai penemuan mereka.
Lima petugas media terbabit ialah Muhammad Bagus Khoirunnas dari agensi berita nasional Indonesia, Antara; Arie Basuki dari Merdeka.com; Yudistiro Pranoto dari iNews; Firdaus Wajidi dari Anadolu Agency serta wartawan bebas, Donal Husni.
Selain mereka, tiga kru bot iaitu Warta, 55; Surakman, 60; dan Heriyanto, 49, turut tidak dapat dihubungi, menjadikan keseluruhan lapan orang yang berada di dalam bot berkenaan.
Kesemua mereka dilaporkan bertolak dari Anyer, Banten pada Isnin menggunakan bot laju menuju ke kawasan Krakatau bagi membuat liputan mengenai aktiviti letusan gunung berapi itu.
Gunung Anak Krakatau yang terletak di Selat Sunda, antara Pulau Jawa dan Sumatera, dilaporkan mengalami siri letusan sejak beberapa hari lalu sehingga menyebabkan abu gunung berapi tersebar ke beberapa kawasan di barat Indonesia serta mengganggu operasi penerbangan.
Menurut Al Amrad, komunikasi terakhir dengan rombongan berkenaan dibuat menerusi Muhammad Bagus, jurugambar Antara Biro Banten, kira-kira 4 petang semalam sebelum mereka tidak lagi dapat dihubungi.
Susulan itu, Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) mengerahkan pasukan ke Pulau Sebesi dan kawasan Gunung Anak Krakatau bagi menjalankan operasi pencarian.
Pasukan SAR turut melakukan pencarian di perairan dan daratan Pulau Sebesi serta kawasan sekitar Gunung Anak Krakatau bagi mengesan sebarang petunjuk mengenai lokasi mereka.
Sumber Info: Bernama
Sumber Gambar: Astro Awani - Reuters
https://www.bernama.com/bm/dunia/news.php?id=2605937
Comments
Leave a Reply