VLADIVOSTOK: Tahap hutang awam Rusia kekal antara yang terendah di dunia, sekali gus menjadikan defisit bajet negara itu tidak berada pada tahap kritikal, kata Presiden Vladimir Putin.
Putin berkata walaupun Rusia kini berdepan defisit dalam bajet persekutuan, kedudukan hutang awam negara itu masih kukuh.
"Terdapat defisit, namun ia tidak kritikal. Mengambil kira bahawa kami mempunyai antara kadar hutang awam terendah di dunia, ia tidak kritikal," katanya ketika berucap pada sesi pleno Forum Ekonomi Timur (EEF-2026), Khamis.
Beliau berkata pelaburan di Rusia turut menunjukkan penurunan sejak kebelakangan ini, sebahagiannya disebabkan dasar pihak berkuasa yang dilaksanakan secara terancang bagi membendung inflasi.
Menurut Putin, Rusia sebelum ini berdepan ancaman lonjakan inflasi yang lebih tinggi, namun langkah Bank Pusat dan kerajaan berjaya mengawal keadaan itu.
"Matlamat dasar yang dilaksanakan oleh Bank Pusat dan kerajaan Rusia adalah untuk membendung inflasi. Kita tidak boleh membiarkan sebarang lonjakan melampau berlaku, walaupun ancaman seperti itu wujud," katanya.
Beliau berkata tumpuan utama ketika ini adalah mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif bagi menggalakkan pelaburan swasta, selain memastikan dana bajet digunakan secara rasional dengan keutamaan yang jelas.
Putin berkata kadar inflasi tahunan Rusia kini berada pada paras 6.3 peratus, sambil menegaskan bahawa langkah seterusnya adalah memastikan usaha membendung inflasi tidak menyebabkan ekonomi mengalami keadaan "terlalu sejuk" (overcooling).
"Kami amat memahami perkara ini," katanya.
Vladivostok, yang terletak di pesisir pantai Pasifik Rusia, menjadi tuan rumah EEF-2026 dari 1 hingga 4 September.
Dalam ucapan alu-aluannya, Putin turut menyifatkan rantau Asia Pasifik sebagai pusat pertumbuhan yang mempunyai daya tahan kukuh.
Beliau berkata Rusia kekal sebagai peserta aktif dalam kerjasama pelaburan dan perdagangan di rantau itu, dengan menekankan bahawa hubungan dengan negara-negara rakan kongsi dibangunkan atas dasar kesaksamaan.
Sumber Info -- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI
https://www.astroawani.com/berita-dunia/hutang-awam-rusia-antara-terendah-di-dunia-putin
Comments
Leave a Reply