Geopolitic

OPS FELLA: SPRM Jangka Tangkapan Beberapa Individu Dalam Kes FELDA Minggu Depan

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan beberapa individu ditahan secara berperingkat bermula awal minggu depan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan anak syarikat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata setakat ini, 12 individu telah dipanggil bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Beliau berkata mereka terdiri daripada tiga Ahli Lembaga Pengarah FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), seorang Setiausaha FIC, dua pegawai Bahagian Perundangan FIC, seorang jurunilai, tiga individu daripada firma guaman serta masing-masing seorang pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala Lumpur dan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Kuala Lumpur.

"Beberapa tangkapan dijangka dilakukan dalam masa terdekat secara berperingkat dan ia dijangka bermula seawal awal minggu hadapan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Abd Halim berkata SPRM telah membuka tujuh kertas siasatan menerusi operasi khas berskala besar, OPS FELLA, yang memfokuskan transaksi pelaburan serta pengambilalihan aset oleh pengurusan FELDA dan FIC bagi tempoh 10 tahun, dari 2010 hingga 2020.

Menurutnya, enam kertas siasatan baharu dibuka pada 24 Ogos lalu, manakala satu lagi merupakan kertas siasatan lama yang masih aktif dan kini melalui proses Bantuan Perundangan Bersama (MLA).

"Enam kertas siasatan baharu itu membabitkan isu pembelian dan pelaburan aset pada harga melebihi penilaian sebenar, sekali gus dipercayai menyebabkan kerugian kepada FELDA.

"Antara yang disiasat termasuk pembelian dan pengambilalihan beberapa aset serta hotel di dalam dan luar negara," katanya.

Beliau berkata siasatan turut meliputi pelaburan Syarikat Tataran Aras Sdn Bhd yang berpusat di Limbang, Sarawak; pengambilalihan Grand Borneo Hotel Sdn Bhd di Sabah serta pembelian Grand Plaza Serviced Apartments di London.

"Siasatan turut difokuskan kepada penubuhan Felda Wellness Corporation Sdn Bhd, pengambilalihan Felda House dan Grand Felda House serta dugaan penyelewengan dalam pembangunan Projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).

"Satu kertas siasatan lama yang masih belum ditutup dan kini dalam proses MLA membabitkan hartanah Park City Grand Plaza turut diteliti secara selari," katanya.

Abd Halim berkata nilai keseluruhan rasuah yang dipercayai terbabit masih belum dapat dikenal pasti memandangkan siasatan masih di peringkat awal.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata SPRM turut menerima maklumat pada 24 Ogos lalu daripada Pengerusi Pertubuhan Badan Bertindak Generasi FELDA (PBBGF) berhubung kebimbangan terhadap kualiti anak benih sawit serta pelaksanaan program pembangunan dan tanam semula sawit di FELDA Palong 7, Negeri Sembilan.

Katanya, program berkenaan dilaporkan memberi manfaat kepada kira-kira 450 peneroka dan turut membabitkan isu berkaitan pembekalan serta penghantaran anak benih.

"Laporan susulan itu dibuat selaras dengan ketetapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu setiap kelemahan dan ketirisan dalam pengurusan FELDA ditangani sepenuhnya.

"Pihak pengurusan FELDA juga wajar melantik firma audit forensik sendiri. FELDA mempunyai peruntukan dan kewibawaan, jadi eloklah mereka melantik audit forensik sendiri bagi membantu pihak kami menjalankan penyiasatan," katanya.

Sementara itu, Abd Halim meminta semua pihak memberikan ruang secukupnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh, adil dan profesional berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang.

Beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak membuat spekulasi atau andaian yang boleh menjejaskan kelancaran proses penyiasatan.

"Diharapkan tidak ada pihak membuat spekulasi atau andaian yang boleh menjejaskan kelancaran proses penyiasatan yang sedang dijalankan.

"Ini penting bagi memastikan hak serta kepentingan negara dan individu yang terlibat terus dipelihara, sekali gus menjamin imej serta kredibiliti negara," katanya.


Sumber info: Astro Awani
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/isu-felda-tangkapan-dijangka-bermula-minggu-depan-sprm 


What's your reaction?

0
AWESOME!
AWESOME!
0
LOVED
LOVED
0
NICE
NICE
0
LOL
LOL
0
FUNNY
FUNNY
0
EW!
EW!
0
OMG!
OMG!
0
FAIL!
FAIL!

Comments

Leave a Reply