KATHMANDU: Kerugian akibat banjir kilat dan tanah runtuh dahsyat yang melanda Nepal minggu lalu dianggarkan sekurang-kurangnya mencecah 387.5 bilion rupee Nepal (AS$2.56 bilion atau kira-kira RM10.36 bilion).
Ketua Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMA) Nepal, Dharma Raj Upreti berkata, jumlah itu merangkumi kerosakan terhadap harta benda, kediaman serta infrastruktur utama negara.
Beliau berkata, kos bagi tempoh empat bulan pertama fasa pemulihan, termasuk pembinaan semula jalan raya, penyediaan penempatan sementara, bekalan air bersih dan pemulihan bekalan elektrik, pula dianggarkan berjumlah AS$52.6 juta.
"Ini hanyalah anggaran semasa. Kami membuat pengiraan melalui penyelarasan dengan pelbagai agensi dan jabatan berkaitan, manakala penilaian yang lebih terperinci akan dijalankan tidak lama lagi," katanya kepada media pada Jumaat.
Upreti berkata Nepal juga perlu membina semula kira-kira 20,000 rumah di kawasan terjejas, dengan sekurang-kurangnya 7,500 rumah dilaporkan musnah sepenuhnya.
Bencana berkenaan bermula pada 26 Ogos apabila keruntuhan glasier menyebabkan aliran ais, batu dan lumpur deras melanda Sungai Trishuli di kawasan sempadan Nepal-China.
Aliran deras itu memusnahkan bandar serta kampung di sepanjang lembangan sungai berkenaan, mengorbankan lebih 1,250 orang dan menyebabkan lebih 4,200 lagi masih dilaporkan hilang.
Ribuan penduduk turut terpaksa dipindahkan susulan bencana berkenaan.
Sumber Info: Astro Awani
https://www.astroawani.com/berita-dunia/kerugian-banjir-nepal-dianggarkan-cecah-as256-bilion
Comments
Leave a Reply