Geopolitic

PRN Negeri Sembilan Bermula Esok Dengan Proses Penamaan Calon

SEREMBAN: Persaingan merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 bermula secara rasmi esok dengan proses penamaan calon, sekali gus menandakan bermulanya tempoh berkempen selama 14 hari.

Tumpuan akan terarah kepada lapan pusat penamaan calon (PPC) di seluruh negeri apabila bakal calon mengemukakan kertas pencalonan masing-masing bermula 9 pagi hingga 10 pagi, sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya mengumumkan senarai muktamad calon yang layak bertanding.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 1 Ogos, manakala pengundian awal berlangsung pada 28 Julai.

Seramai 889,490 pemilih layak mengundi pada PRN kali ini, melibatkan 867,151 pengundi biasa, 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis dan pasangan.

Menjelang hari penamaan calon, landskap pertandingan semakin jelas apabila parti-parti politik melengkapkan senarai calon masing-masing bagi menghadapi persaingan di semua 36 kerusi DUN.

Pakatan Harapan (PH) akan bertanding di kesemua kerusi dengan menampilkan 36 calon, terdiri daripada 16 calon PKR, 11 DAP dan sembilan Amanah.

Barisan Nasional (BN) pula akan bertanding di 25 kerusi menerusi 16 calon UMNO, tujuh calon MCA dan dua calon MIC.

Perikatan Nasional (PN) mengesahkan bertanding di 11 kerusi dengan lima calon PAS, seorang calon Gerakan dan seorang calon Malaysian Indian People Party (MIPP), manakala Parti Wawasan Negara (Wawasan), komponen baharu PN, membuat penampilan sulung dengan mempertaruhkan calon di empat kerusi.

Dalam perkembangan berasingan, Bersatu mengumumkan akan bertanding secara solo menggunakan logo parti sendiri dan dijadual mengumumkan senarai calonnya petang ini.

Selain itu, Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing akan meletakkan seorang calon, manakala Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dijangka bertanding di tujuh kerusi.

Sementara itu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Bersama Malaysia (Bersama) mengesahkan tidak akan bertanding pada PRN kali ini.

SPR turut mengingatkan bakal calon supaya membuat semakan awal borang penamaan calon di Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri bagi memastikan proses penamaan berjalan lancar.

Bakal calon juga digalakkan menjelaskan bayaran deposit lebih awal dan membawa resit pembayaran sebagai bukti ketika mengemukakan kertas pencalonan.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca pada pagi Sabtu kebanyakannya cerah, kecuali di Port Dickson dan Seremban yang dijangka hujan. Semua kawasan di Negeri Sembilan bagaimanapun diramal mengalami ribut petir pada sebelah petang.

DUN Negeri Sembilan dibubarkan secara rasmi pada 5 Jun selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Pada PRN Negeri Sembilan 2023, PH muncul sebagai blok terbesar dengan memenangi 17 daripada 36 kerusi DUN, diikuti BN dengan 14 kerusi dan PN lima kerusi.

Sumber Berita: Bernama 

Sumber Gambar: Bernama

https://www.bernama.com/bm/politik/news.php?id=2581938 

What's your reaction?

0
AWESOME!
AWESOME!
0
LOVED
LOVED
0
NICE
NICE
0
LOL
LOL
0
FUNNY
FUNNY
0
EW!
EW!
0
OMG!
OMG!
0
FAIL!
FAIL!

Comments

Leave a Reply