KUALA LUMPUR - Malaysia menyasarkan sekurang-kurangnya separuh daripada 34 lebuh raya di seluruh negara dilengkapi teknologi Lebuh Raya Pintar bagi meningkatkan keselamatan pengguna, mengurangkan kesesakan serta memperkukuh kecekapan pengurusan trafik.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata inisiatif itu melibatkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), kamera litar tertutup (CCTV) pintar, sistem pengesanan dan amaran awal bagi insiden berisiko tinggi termasuk kemalangan, selain pencahayaan solar, aplikasi mobiliti digital dan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV).
Beliau berkata kerajaan turut memberi keutamaan kepada pembangunan Pusat Pengurusan Trafik Pintar Kebangsaan (NITMC) bagi mempertingkat pemantauan trafik secara masa nyata, analisis data bersepadu serta penyelarasan pengurusan trafik di seluruh negara.
Menurutnya, pelaksanaan sistem kutipan tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) juga merupakan antara komponen penting dalam usaha itu, membolehkan kenderaan melalui lokasi kutipan tol tanpa perlu berhenti di palang, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan dan menjimatkan masa perjalanan.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan Kementerian Kerja Raya bersempena penyertaannya dalam Sesi Meja Bulat Peringkat Tinggi pada Kongres Dunia Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) 2026 di Gangneung, Republik Korea, yang berlangsung dari 20 hingga 23 Okt.
Kongres bertemakan Beyond Mobility, Connected World itu menghimpunkan kira-kira 60,000 peserta dari 90 negara bagi membincangkan inovasi, perkembangan teknologi dan hala tuju sistem pengangkutan pintar.
Mengulas pelaksanaan inisiatif Lebuh Raya Pintar, Nanta berkata kerajaan memberi ruang kepada syarikat konsesi dan rakan industri untuk memperhalusi model pelaksanaan secara perniagaan kepada perniagaan (B2B) di bawah kawal selia Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Katanya, pendekatan itu mengambil kira aspek daya maju teknologi dan komersial, kebolehoperasian antara sistem, integrasi pembayaran, keselamatan data serta perlindungan kepentingan pengguna.
Beliau berkata persediaan teknikal, operasi dan kerangka perundangan kini sedang dimuktamadkan sebelum cadangan berkenaan dikemukakan kepada kerajaan untuk pertimbangan dan kelulusan akhir.
Dalam perkembangan berkaitan, Nanta turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Timbalan Menteri Kedua Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Republik Korea, Jeong Eui-kyung, bagi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan infrastruktur, teknologi pembinaan dan sistem pengangkutan pintar.
Menurut Nanta, kedua-dua pihak membincangkan usaha memperluas kerjasama dalam pembangunan jalan raya dan lebuh raya, termasuk penerapan teknologi serta kaedah pengurusan yang lebih cekap.
Pertemuan itu turut meneliti perkembangan pelaksanaan kerjasama susulan memorandum persefahaman yang dimeterai sebelum ini antara LLM dengan Korea Expressway Corporation (KEC).
“Dalam mesyuarat dua hala itu, kita memperhalusi apa yang telah dicapai dan membincangkan bagaimana kerjasama antara kedua-dua negara dapat dipertingkatkan, khususnya dalam industri pembangunan jalan raya, lebuh raya serta penggunaan teknologi dan kaedah terkini,” katanya.
Beliau berkata kerjasama itu akan diteruskan menerusi majlis susulan antara LLM dengan KEC yang dijadual berlangsung esok bagi memperkukuh hubungan dan kerjasama dalam sektor infrastruktur lebuh raya.
Sumber Info: Bernama / Awani
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/malaysia-sasar-50-peratus-lebuh-raya-dilengkapi-teknologi-pintar
Comments
Leave a Reply