Not Found
Bekas Perdana Menteri Britain (1997-2007), Tony Blair, 72 tahun, kini dijangka memainkan peranan besar dalam rancangan “‘Board of Peace/ Lembaga Keamanan” Gaza yang dicadangkan oleh Donald Trump.
Trump memperkenalkan sebuah rancangan perdamaian 20 poin untuk Gaza, dan akan mengetuai sendiri Board of Peace yang berfungsi sebagai kerajaan peralihan di wilayah tersebut.
Dalam rancangan ini juga diselitkan cadangan pelaburan antarabangsa dan pembangunan, yang digambarkan boleh membawa “harapan baru” kepada Gaza.
Kenapa Tony Blair?
Blair sebenarnya masih kekal aktif di rantau Timur Tengah selepas meletak jawatan pada 2007 untuk menjalankan perniagaan peribadi sambil menjadi ahli diplomat sehingga tahun 2015. Blair memberi nasihat berbayar kepada beberapa kerajaan Arab dan menjadi penasihat kanan separuh masa kepada bank pelaburan AS, JP Morgan, dengan bayaran dilaporkan melebihi USD 1 juta setahun.
Francis Beckett, penulis buku Blair Inc: The Man Behind the Mask, berkata:
“Apabila Blair menghadiri mesyuarat di Timur Tengah, tiada siapa tahu Blair yang mana satu hadir — Blair sebagai utusan Quartet, pengasas Tony Blair Faith Foundation, atau ketua syarikat perunding Tony Blair Associates.”
Blair diserap sebagai ahli diplomat di Timur Tengah, khususnya sebagai wakil antarabangsa (“Quartet: AS, EU. Rusia dan PBB) dalam usaha menyelesaikan konflik Israel–Palestin. Pelantikan seorang yang pro Israel ini jelas menafikan sebarang kemajuan ke arah keamanan di Palestin.
Dalam artikel Journal of Palestine Studies (2013), wartawan Jonathan Cook mendedahkan bahawa satu-satunya “kejayaan” Blair sebagai wakil Quartet ialah mendapatkan kelulusan Israel pada 2009 untuk mewujudkan syarikat telekomunikasi Palestin kedua, Wataniya Mobile, di Tebing Barat.
Namun, sebenarnya terdapat syarat tersembunyi iaitu Israel hanya bersetuju melepaskan frekuensi bagi perkhidmatan telefon jika pihak Palestin menghentikan desakan di PBB untuk menyiasat jenayah perang Israel semasa serangan Operation Cast Lead pada 2008 yang membunuh sekitar 1,400 rakyat Palestin dalam masa 22 hari.
Tidak mengejutkan juga apabila Blair mempunyai kepentingan peribadi dalam rundingan itu, dan Wataniya Mobile serta JP Morgan telah mengaut keuntungan besar daripada perjanjian tersebut.
Oleh itu, sepanjang penglibatannya di Timur Tengah, Blair sering dikritik kerana konflik berkepentingan iaitu terlibat dalam projek perniagaan atau memberikan nasihat yang menguntungkannya dirinya sambil mengaku menjadi tokoh perdamaian.
Hakikatnya, Blair juga terlibat dalam perang Iraq (2003), di mana dakwaan senjata pemusnah besar-besaran digunakan sebagai justifikasi perang, mengakibatkan kematian ramai rakyat awam Iraq.
Hanya beberapa bulan selepas Israel mula mengebom Gaza pada Oktober 2023, Blair mula mengusahakan cadangan pasca perang. Bekas Menteri Kewangan Greece Yanis Varoufakis pernah menyatakan bahawa keputusan Trump mencadangkan penjenayah perang sebagai ketua pentadbiran di Gaza adalah “satu komedi, jika ia tidak begitu tragis”.
Pengarah eksekutif kumpulan hak sivil dan advokasi Muslim terbesar di Amerika Syarikat, Majlis Perhubungan Islam Amerika (CAIR), Edward Ahmed Mitchell, pula berkata: "Cadangan AS menjadikan Blair yang merupakan arkitek utama pendudukan Iraq dan pembela jenayah perang Israel, sebagai pentadbir di Gaza, adalah tidak masuk akal dan menjijikkan.
Pembangunan Gaza Untuk Siapa?
Rancangan “pelaburan dan pembangunan” termasuklah projek ‘Trump Riviera’ adalah cara bagi mengaut keuntungan dan penjajahan atas tanah milik Palestin, ia bukannya penyelesaian sebenar untuk keamanan. Ini adalah rancangan kolonial cara baharu di Gaza. Gaza akan menjadi medan ujian bagi kuasa asing untuk memperkukuh pengaruh mereka, mengenepikan segala luka dan derita yang ditanggung berdekad lamanya oleh rakyat Palestin.
Dalam konteks ini, Blair bukanlah pilihan yang neutral lebih-lebih lagi dia dilabel sebagai seorang “kriminal perang” yang sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (International Criminal Court - ICC). Trump dan Blair mempunyai rekod panjang dalam menyokong perang, penjajahan, dan kepentingan korporat, bukan perjuangan kemanusiaan.
Kebebasan dan keamanan di Gaza bukanlah impian mereka. Pihak asing menjadikan Gaza sebagai aset hartanah baharu yang boleh dieksploitasi sesuka hati.
Rakyat Palestin mempunyai hak yang sama seperti semua orang untuk menentukan masa depan mereka sendiri, bebas daripada campur tangan atau pendudukan asing.
Oleh: Norain Yusoff.
Comments
Leave a Reply